Seminggu ini perasaannya menjadi bolak-balik dengan segala macam perkara yang menggugat ketenangannya. Dalam usaha menyelesaikan satu persatu perkara, dugaan lain bertamu pada masa yang sama. Lelah memang terasa namun dia sudah ketahuan bahawa pada setiap kali ibadah puasa menjadi pilihannya dalam mengukuhkan iman, maka dugaan Tuhannya juga turut melimpah ruah.
Ada sesetengah orang tidak boleh hidup tanpa kehadiran ramai teman disisi. Ada sesetengah yang lain pula gemar menjalani kehidupan secara berdikari yakni mendatangi teman apabila dirinya diperlukan dan jarang pula kita mendengar hidup seorang manusia hanya dengan dirinya semata sepanjang hari. Eh, dalam dunia mungkin hanya ada seorang sahaja yang demikian kisahnya - Encik Kacang atau popular dengan nama anehnya, Mr. Bean!
Bagaimanapun, dia percaya bahawa tiada manusia yang gembira andai hidup dalam kesendirian. Bangkit pada permulaan pagi dengan jiwa kosong, bekerja bersama tekanan, beriadah dengan kebosanan, menghabiskan saat sebelum tidur dengan buku di kamar dan akhirnya terlena setelah puas berkalih ke kiri dan ke kanan berkali-kali. Maaf. Akan tetapi hidup dia tidak seperti yang kalian sangka. Namun dalam hidup kita didatangkan pilihan dan adakala kita hanya dipaksarela untuk menurut tanpa sempat memilih.
Bagi dia sudah banyak ragam manusia ditemuinya. Namun hanya satu jenis sikap manusia yang dia cuba untuk hindari. Cukuplah kehadiran mereka sekali dalam lipatan sejarah hidupnya. Dia memilih memaafkan dan membiarkan manusia itu pergi dengan harapan tidak akan kembali lagi. Bukan diniat membenci kerana dia juga manusia yang turut dibenci oleh manusia lain, cuma sikap yang tidak disenangi itu yang dibenci.
Dia manusia yang cinta akan kenangan manis yang dimiliki
hasil kebersamaan insan-insan tertentu yang didatangkan seketika
mewarnai hidupnya.
Tidak pernah menyesal.
Tiap-tiap relung itu punya makna tersendiri.
Senyum.
Diam.
Malas mahu meneruskan kata-kata. Tiba-tiba teringat akan perangai seorang manusia yang dikenali. Puan LB panggilnya – LB, ‘loyau buruk’! Ada sahaja bangkang dan setujunya apabila ada manusia tertentu memulakan perbicaraan masalah hingga hampir setiap kali terlihat dia, bualan menjadi kaku hingga semua tukang cerita angkat kaki dari situ. Hei, adakala apabila orang lain meluahkan rasa, dia belum tentu meminta kita menyelesaikan masalah baginya kerana dia mungkin hanya mahu menenteramkan keserabutan fikiran. Lantas kau mahu jadi pendengar yang memahami dan menenteramkan atau kau akan menjadi orang yang mendengar dan menghakimi tindakannya? Ramai yang menjadi hakim dalam tidak sedar. Kalau jumpa hakim begini, kasi cincang saja dia sama hujah karatnya itu.
Justeru, caharilah akan kamu seorang sahabat yang hadirnya hanya satu dalam seribu dan tatkala datangnya ia, hargailah sepenuhnya kerana hanya manusia istimewa sahaja yang dikurniakan peluang memiliki teman sejati. Dan dia masih mencari teman sejati. Sesungguhnya pepasir itu memang terlalu banyak bertaburan tetapi sebutir permata disebalik pepasir itu belum tentu akan ada.
Huh!
Jarak selalu menjadi pemisah dalam hidupnya.
Dia sudah terbiasa ditinggalkan dan dibiarkan.
Maka, sepi sudah menjadi lali dan tidak berbisa lagi.
Acap kali kita mencari persamaan dalam diri seseorang yang mahu kita jadikan ia berada pada satu lokasi istimewa dalam diri. Kemudian, kita mencari insan tersebut saat berada dalam keramaian. Puas kita mencari tetapi selalu juga yang kita temui hanyalah kesementaraan. Seorang lelaki bisa sahaja menjadi teman akrab kepada seorang perempuan. Mereka barangkali akan bersama kerana rasa suka. Dalam bawaan perasaan, muncul istilah suka. Namun rasa suka bersifat tidak kekal. Waktu perselisihan menempatkan diri, salah faham menjadi belenggu. Barangkali jua kerana salah tempat, salah waktu, terlewat masa atau salah pilihan yang membawa kerenggangan selamanya. Yang bersisa hanyalah jarak dan kelukaan dalam kenangan. (Eh, dia baik-baik saja ya. Tidak kuasa menjadi badak berendam air mata saja sepanjang-panjang saat.) Dan manusia yang selalu terluka menyimpan banyak kenangan tentang orang yang pernah mendatangi hidupnya. Cukup hanya untuk dikenang kerana untuk menerima kembali, bergantung pula kepada cara bagaimana dia ditinggalkan pergi.
0 comments:
Post a Comment